DUBLIN, 9 Okt - Bekas juara dunia UFC, Conor McGregor, dikenakan penggantungan selama 18 bulan selepas gagal mematuhi peraturan lokasi yang ditetapkan oleh Agensi Anti-Doping Sukan Tempur (CSAD).
Menurut CSAD, McGregor gagal memaklumkan lokasi keberadaannya pada tiga tarikh berbeza 13 Jun, 19 September dan 20 September 2024, sekali gus melanggar dasar anti-doping UFC.
Tempoh penggantungan itu berkuat kuasa 20 September 2024, iaitu tarikh pelanggaran ketiga, dan McGregor hanya layak kembali ke oktagon selepas 20 Mac 2026.
Dalam kenyataan rasmi, CSAD memaklumkan bahawa McGregor ketika itu masih dalam proses pemulihan akibat kecederaan jari kaki dan tidak bersedia untuk bertarung, namun tetap mengakui tanggungjawab atas kesalahan tersebut.
Atas kerjasama dan penjelasan terperinci yang diberikan, hukuman asal selama 24 bulan dikurangkan kepada 18 bulan.
Ini merupakan kesalahan doping pertama sepanjang karier UFC McGregor.
Juara dua divisyen itu setakat ini belum memberikan sebarang reaksi, selain memaklumkan di media sosial bahawa beliau akan berehat daripada sebarang aktiviti dalam talian selepas menarik diri daripada pemilihan presiden Ireland.
McGregor, 37, tidak beraksi sejak mengalami patah kaki ketika menentang Dustin Poirier pada Julai 2021. Beliau sepatutnya kembali menentang Michael Chandler pada Jun lalu, namun menarik diri akibat kecederaan.
Sementara itu, Presiden UFC Dana White menyatakan bahawa McGregor berpotensi membuat kemunculan semula pada 14 Jun 2026 dalam acara khas di Rumah Putih, sempena ulang tahun ke-250 Deklarasi Kemerdekaan Amerika Syarikat.
“Conor sangat bermotivasi untuk kembali. Acara di Rumah Putih bakal menjadi pentas terbesar dalam sejarah UFC dan dia mahu berada di sana,” kata White.
Bekas juara dunia, Khabib Nurmagomedov, yang menewaskan McGregor pada 2018, turut memuat naik berita penggantungan itu di media sosial. Namun, dengan Khabib sudah bersara sejak 2020, pertarungan semula antara dua seteru lama itu kekal sebagai impian peminat seni bela diri campuran.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini