PETALING JAYA, 9 Okt. – Kapal Conscience yang membawa seramai 92 orang terdiri daripada doktor perubatan, wartawan dan aktivis kemanusiaan termasuk lapan rakyat Malaysia dilaporkan tiba di Pelabuhan Ashdod, Israel, kira-kira pukul 12.45 tengah malam waktu Malaysia.
Humanitarian Care Malaysia (MyCare) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa peguam daripada Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (Adalah) telah bersiap sedia di pelabuhan berkenaan untuk memantau keadaan kesemua penumpang bagi pihak Freedom Flotilla Coalition (FFC).
“Status lapan kapal lain dalam misi tersebut masih belum dapat dipastikan setakat ini,” menurut kenyataan MyCare.
Lapan rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Conscience ialah Ketua Delegasi Malaysia, Prof. Emeritus Dr Mohd Alauddin, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Prof. Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar, serta wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Seorang lagi rakyat Malaysia, Dr Maziah Muhammad, dilaporkan menaiki kapal Umm Saad.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan bahawa sembilan rakyat Malaysia telah ditahan oleh tentera Israel selepas kapal yang mereka naiki dalam misi kemanusiaan FFC x Thousand Madleens to Gaza dipintas pada kira-kira pukul 10.50 pagi semalam waktu Malaysia.
Mereka merupakan peserta gelombang ketiga flotila kemanusiaan yang berlepas secara berperingkat menuju ke Gaza dengan membawa wartawan antarabangsa, pakar perubatan, ahli Parlimen serta aktivis kemanusiaan.
Susulan kejadian itu, pihak Adalah memaklumkan bahawa mereka telah menulis kepada pihak berkuasa Israel untuk memaklumkan bahawa organisasi tersebut akan mewakili semua peserta flotila berkenaan dan menuntut agar akses segera diberikan kepada mereka sebaik tiba di Israel.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini