KUALA LUMPUR, 8 Okt — Enam aktivis yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dilaporkan masih ditahan secara tidak sah oleh tentera Zionis Israel.
Menurut kenyataan Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH), pihaknya akan melawat kesemua aktivis terbabit hari ini bagi menilai keadaan mereka.
“Lebih 130 aktivis telah dibebaskan melalui Jordan semalam. Baki enam tahanan, terdiri daripada warga Norway, Maghribi dan Sepanyol, masih ditahan setakat ini,” kata kenyataan itu.
ADALAH turut menegaskan komitmen mereka untuk terus menuntut pembebasan segera kesemua aktivis yang masih ditahan, sambil meneruskan komunikasi dengan pihak berkuasa berkaitan.
Sebelum ini, pertubuhan itu mendedahkan bahawa peserta GSF tidak diberikan ubat, termasuk mereka yang menghidap penyakit serius seperti kanser, jantung dan darah tinggi.
ADALAH turut mendokumentasikan pelbagai bentuk penderaan serius yang dialami peserta GSF sejak kapal mereka dipintas secara haram oleh tentera Israel, ketika dalam misi memecahkan sekatan dan menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Sementara itu, 23 aktivis Malaysia yang menyertai misi tersebut telah dibebaskan dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Ketibaan mereka di Terminal 1 disambut meriah oleh ribuan rakyat Malaysia pada Majlis Sambutan Kepulangan Wira Sumud Nusantara Malaysia.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini