PETALING JAYA, 8 Okt – Sembilan buah kapal yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Madleens to Gaza (TMTG) telah dipintas oleh tentera Israel pagi tadi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Humanitarian Care Malaysia (MyCare), kejadian itu dilaporkan berlaku pada kira-kira pukul 10.50 pagi waktu Malaysia.
“Kesemua sembilan kapal di bawah misi Conscience telah dipintas oleh tentera Israel sekitar pukul 10.50 pagi waktu Malaysia.
Lapan orang delegasi Malaysia berada di atas kapal Conscience, manakala seorang lagi delegasi berada di atas kapal Umm Saad,” menurut kenyataan tersebut.
Berdasarkan siaran langsung yang memaparkan perkembangan semasa misi FFC x TMTG, kapal berkenaan telah melepasi garisan kuning dan berada kira-kira 100 batu nautika dari perairan Gaza ketika insiden berlaku.
Berbeza dengan kejadian terdahulu, tentera Israel dilaporkan menggunakan helikopter bagi melakukan pemintasan kali ini, dan bukan melalui laluan laut seperti sebelum ini.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini