• Home
  • Programme
  • Charts
  • Trending
  • Community
  • Media
  • Podcast
Listen Now
Back

WHAT’S HOT

"Kami dipukul, dipaksa cium bendera Israel" - Aktivis Sweden
07 October 2025 | 04:51 PM

"Kami dipukul, dipaksa cium bendera Israel" - Aktivis Sweden

LONDON: Aktivis Sweden, Greta Thunberg tampil bersuara buat kali pertama hari ini selepas dibebaskan daripada tahanan Israel, ketika beliau dilaporkan dipukul dan dipaksa mencium bendera Israel, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Thunberg antara 171 aktivis yang diusir Israel selepas ditahan kerana menyertai flotila bantuan menuju ke Gaza.

Kumpulan itu kemudiannya berlepas ke Greece dan Slovakia selepas dibebaskan.

Ketibaan Thunberg bersama aktivis lain di Greece disambut dengan sorakan oleh penyokong yang menanti mereka selepas melalui pengalaman pahit dalam tahanan.

Berucap di Lapangan Terbang Antarabangsa Eleftherios Venizelos di Athens, Thunberg menegaskan bahawa pengalamannya bukan perkara utama untuk dibicarakan.

"Saya boleh bercerita panjang lebar tentang layanan buruk dan penyeksaan yang kami alami ketika dalam tahanan, percayalah. Tetapi itu bukan kisah sebenar.

"Saya ingin jelaskan satu perkara: sedang berlaku satu pembunuhan beramai-ramai di depan mata kita — satu genosid yang disiarkan secara langsung.

"Tiada siapa yang berhak berkata mereka tidak tahu apa yang sedang berlaku. Tiada sesiapa di masa hadapan yang boleh mengatakan kita tidak tahu," kata Thunberg.

Beliau menuduh Israel terus memperhebat "genosid dan kemusnahan besar-besaran dengan niat menghapuskan seluruh populasi dan sebuah bangsa di depan mata dunia."

"Kita tidak boleh mengalihkan pandangan daripada Gaza dan juga tempat-tempat lain di dunia yang sedang menderita akibat sistem penindasan yang berterusan seperti di Congo, Sudan, Afghanistan, dan banyak lagi.

"Apa yang kita lakukan kini hanyalah usaha minimum.

"Saya tidak mampu memahami bagaimana manusia boleh menjadi sebegitu jahat. Sanggup membiarkan jutaan manusia kebuluran di bawah sekatan haram, sebagai kesinambungan penindasan dan dasar aparteid selama puluhan tahun," katanya.

Dalam video yang dimuat naik ke akaun Instagramnya, Thunberg berkata Global Sumud Flotilla merupakan manifestasi "solidariti antarabangsa terhadap rakyat Palestin."

Beliau menegaskan bahawa Israel telah melanggar undang-undang antarabangsa dengan menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

"Negara-negara di dunia mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk menamatkan keterlibatan mereka dalam genosid — sesuatu yang kini turut disahkan oleh Pesuruhjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," kata Thunberg sambil menegaskan bahawa Israel tidak boleh dikecualikan daripada pertanggungjawaban terhadap jenayah itu.

Global Sumud Flotilla yang berlayar untuk memecahkan sekatan Israel dan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza menghampiri perairan wilayah itu pada 1 Oktober lalu sebelum diserang tentera Israel.

Tentera rejim bertindak merampas puluhan kapal dan menahan ratusan penumpang dalam operasi yang disifatkan sebagai pencerobohan tidak sah.

Flotila berkenaan merupakan misi terbesar pernah dilancarkan secara kolektif bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan ke wilayah terkepung itu.

Sumber: BERNAMA-ANADOLU

Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini 

DOWNLOAD OUR FREE APP NOW!

  • FOLLOW ON SOCIAL MEDIA AND DOWNLOAD OUR APP!
  • FOLLOW ON SOCIAL MEDIA AND DOWNLOAD OUR APP!
  • FOLLOW ON SOCIAL MEDIA AND DOWNLOAD OUR APP!
  • FOLLOW ON SOCIAL MEDIA AND DOWNLOAD OUR APP!
  • FOLLOW ON SOCIAL MEDIA AND DOWNLOAD OUR APP!

GET CONNECTED WITH US

I would love to receive more updates from Cats FM!

THE COMPANY

  • About Us
  • Advertise With US
  • Career With Us
  • Contact Us
  • General T & C

STATION

  • Programs
  • Contest
  • CATS Rangers

TRENDING

  • What’s Hot?
  • Artist of the month

CHARTS

  • CATS 30
  • CATS Prebiu
  • Lagu Tebilang CATS

MEDIA

  • Photo Gallery
  • Video Gallery
  • Podcast

COMMUNITY

  • Waktu Solat
  • CATS Activity

© Cats FM 2025

Social Media :

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter / X
  • TikTok