PUTRAJAYA, 7 Okt — Seramai 23 aktivis Global Sumud Flotilla Malaysia dilaporkan kini berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), sebelum meneruskan perjalanan pulang ke tanah air menggunakan pesawat Emirates.
Menurut sumber Kosmo!, kumpulan berkenaan tiba di Dubai awal pagi tadi selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul, Turkiye.
“Mereka sudah tiba di Dubai dan akan ke Kuala Lumpur selepas ini,” katanya ringkas kepada Kosmo! hari ini.
Berdasarkan maklumat daripada aplikasi Flightradar24, penerbangan Emirates dari Dubai ke Kuala Lumpur dijadualkan berlepas pada 10.25 pagi waktu tempatan dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar 9.50 malam ini.
Terdahulu, kesemua 23 aktivis Malaysia itu ditahan oleh pihak berkuasa Israel pada Khamis lalu sebelum dibawa ke penjara Ketziot, yang terletak di padang pasir Negev. Mereka kemudiannya dibebaskan dan berada di Istanbul sebelum pulang ke Malaysia.
Antara aktivis yang ditahan termasuk penyanyi Nur Heliza Helmi dan adiknya Nur Hazwani Afiqah Helmi, personaliti media sosial Norfarahin Romli (Farah Lee), penyanyi Nur Fazelah Mad Tahil (Zizi Kirana), pendakwah Rahmat Ikhsan Mohd. Sofyan (PU Rahmat), serta pelakon Nurul Hidayah Mohd. Amin (Ardell Aryana).
Sementara itu, kerajaan Malaysia dijangka menganjurkan satu majlis khas di Axiata Arena, Bukit Jalil esok bagi menghargai sumbangan dan keberanian semua aktivis berkenaan.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini