KUALA LUMPUR, 7 Okt — Enam negeri di Malaysia dikenal pasti sebagai kawasan yang berisiko terdedah kepada ancaman gempa bumi, menurut Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Negeri terbabit ialah Pahang, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak, berdasarkan hasil kajian Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta Peta Seismotektonik Malaysia.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii, berkata penilaian itu dibuat hasil kajian pemetaan sesar aktif yang menunjukkan kewujudan zon sesar di enam negeri berkenaan.
Beliau memaklumkan, kerajaan kini sedang mengemas kini Peta Bahaya Seismik Malaysia dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), universiti tempatan dan agensi teknikal lain bagi mengambil kira data serta maklumat terbaharu.
“Pengemaskinian ini melibatkan analisis terhadap kejadian gempa bumi terkini, kewujudan sesar aktif, bahan geologi serta data siasatan tanah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan kejadian gempa bumi di Segamat dan Batu Pahat baru-baru ini merupakan proses semula jadi pelarasan tenaga tektonik yang terkumpul dalam sesar lama bagi menstabilkan semula kerak bumi.
“Kejadian itu dipengaruhi lanjutan zon Sesar Mersing, iaitu sistem sesar utama di Johor Timur. Berdasarkan data sedia ada dan terkini, Segamat serta Johor secara keseluruhan masih berada dalam zon selamat,” katanya.
Sumber: BERNAMA
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini