PETALING JAYA – “Saya cakap, ‘to educate the world’ (untuk mendidik dunia). Selepas dia dengar perkataan itu, dengan pandangan yang sangat sinis, dia kata, ‘welcome to jail’ (selamat datang ke penjara).”
Itu antara kata-kata yang masih terngiang di fikiran sukarelawan Malaysia, Heliza Helmi, ketika mengenang pengalaman ditahan tentera Israel sewaktu menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza baru-baru ini.
Menurut Heliza, insiden itu berlaku sebelum beliau dibawa ke penjara Israel di Ashdod selepas kapal yang dinaikinya bersama sukarelawan lain dipintas di perairan antarabangsa.
“Yang paling saya tak boleh lupakan, saya seorang diri ditangkap dan sebelum mata ditutup (blindfold), dia tanya, ‘kenapa kamu nak pergi Gaza?’
Saya jawab, sebab nak beri bantuan,” katanya dalam satu sesi temu bual di Istanbul, hari ini.
Bagaimanapun, jawapan itu dibalas dengan nada sinis oleh tentera Israel.
“Dia tanya lagi, bantuan apa? Saya kata bantuan makanan. Dia sindir, ‘kenapa datang ramai-ramai nak bagi makanan?’” katanya.
Heliza menyifatkan pengalaman itu sebagai bukti nyata bahawa usaha kemanusiaan turut dianggap satu jenayah oleh rejim Zionis.
“Itu yang membuatkan saya terfikir, adakah kerana kami ingin memberi bantuan makanan kepada orang yang memerlukan, kami perlu masuk penjara?” ujarnya.
Beliau menambah, pengalaman pahit itu hanya sedikit berbanding penderitaan yang ditanggung rakyat Palestin saban hari.
“Itulah gambaran sebenar keadaan rakyat Palestin. Mereka tidak berdosa, tidak bersalah, tetapi ditahan, dibunuh. Dunia perlu tahu tentang kekejaman ini,” katanya.
Heliza adalah antara 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika misi GSF yang bertujuan menghantar bantuan makanan, ubat-ubatan dan barangan keperluan kepada penduduk Gaza.
Selepas hampir tiga hari ditahan, kesemua mereka akhirnya dibebaskan hasil usaha diplomatik kerajaan Malaysia dengan negara sahabat.
Kini, semua sukarelawan Malaysia itu berehat di Istanbul, Turkiye sebelum pulang ke tanah air dalam masa terdekat.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini

WHAT’S HOT

06 October 2025 | 05:39 PM