KUALA LUMPUR, 6 Okt — Penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Zizi Kirana mendedahkan detik mencemaskan ketika ditahan tentera Israel semasa menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza baru-baru ini.
Menurut Zizi, atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, 40, beliau bukan sahaja diugut malah dipaksa membuka tudung dan stokin sewaktu melalui pemeriksaan imigresen Israel.
“Saya pakai topi, dia suruh buka topi. Bila saya nak tenangkan diri dengan mengaji, dia ambil al-Quran saya, tarik dan tanya, ‘What is this?’
Saya jawab, ‘This is Quran, this is my Quran.’ Tapi dia terus rampas. Mereka suruh buka kasut, buka stokin, saya kata tak boleh, haram. Lepas itu mereka paksa saya buka tudung. Saya cakap, ‘No, it’s haram, I am Muslim.’ Tapi mereka tarik juga tudung saya,” katanya sebak ketika ditemu bual AWANI di Istanbul, Turkiye.
Zizi turut menggambarkan layanan keras yang diterima ketika tiba di pusat imigresen.
“Saya pegang tudung saya sambil ada orang tarik dari belakang, sampai kawan-kawan satu kapal saya menangis, mereka jerit ‘Be strong Nur!’,” ujarnya.
Beliau berkata, pengalaman itu membuatkan dirinya berdoa agar kezaliman terhadap umat Islam dibalas dengan setimpal.
Penyanyi berkenaan juga sempat bertentang mata dengan tentera Israel dan merasakan ketakutan mereka.
“Mereka takut sebenarnya, saya boleh nampak sebab saya bertentang mata dengan mereka… Dia pun sampai cakap kenapa saya pandang. Saya hanya respons, ‘Apa?’ Sebab itu dia bagi saya paling akhir keluar dari kapal,” katanya.
Zizi bersama 22 aktivis Malaysia lain dibebaskan Israel pada 4 Oktober lalu dan dibawa menaiki pesawat khas ke Istanbul, bersama delegasi antarabangsa lain yang turut menyertai misi kemanusiaan itu.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini