KUALA LUMPUR – Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan telah mengambil langkah segera bagi membantu 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan oleh pihak berkuasa Israel ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF).
Dalam satu kenyataan hari ini, pihak kedutaan memaklumkan bahawa pertemuan telah diadakan bersama pasukan peguam Malaysia di Amman bagi memastikan kesemua tahanan mendapat perlindungan undang-undang yang adil dan telus.
Kedutaan turut menjalin hubungan dengan negara-negara sahabat ASEAN di Amman dan Tel Aviv bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung status tahanan serta menghulurkan bantuan konsular sewajarnya.
“Pihak kedutaan memantau rapat perkembangan semasa melibatkan rakyat Malaysia dalam misi GSF, khususnya mereka yang kini berada dalam tahanan pihak berkuasa Israel,” menurut kenyataan itu.
Semalam, Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan bahawa seramai 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi berkenaan telah ditahan oleh tentera Israel.
Dalam pada itu, rakyat Malaysia diminta merujuk kepada pegawai kedutaan di Unit Hal Ehwal Palestin, Kedutaan Besar Malaysia di Amman melalui e-mel amm.uhep@kln.gov.my atau menghubungi pegawai bertugas iaitu Muhd Irfan Zulkurnain di talian +962793811135 dan Nur Najihah Md Abas di talian +962790800865.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini