PETALING JAYA – Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir menuduh aktivis dan sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla sebagai pengganas serta mendakwa mereka membawa bahan kimia di atas kapal.
Menerusi sebuah rakaman video yang tular di media sosial, Ben-Gvir dilihat hadir berhadapan dengan aktivis serta sukarelawan yang telah ditahan oleh tentera Israel. Beliau turut memasuki salah sebuah kapal dan mendakwa kononnya terdapat bahan kimia di dalamnya.
“Mereka ialah pengganas, pembunuh. Mereka tidak datang untuk membantu, tiada kasih sayang. Gaza ialah komuniti pengganas, tempat perlindungan pengganas.
“Ada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di sini, ada komando perisikan. Mereka mendakwa membawa bantuan kemanusiaan, tetapi ada kontena kargo yang kelihatan seperti bahan kimia. Ini bukan misi bantuan dan bukan juga misi kemanusiaan,” katanya dalam rakaman tersebut.
Walau bagaimanapun, ketika dituduh, para aktivis dan sukarelawan tetap bersemangat serta melaungkan slogan “Free Free Palestine” (Palestin Bebas).
Rakaman itu turut dikongsi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman yang memaklumkan kelihatan penyanyi tanah air, Heliza Helmi bersama adiknya, Nur Hazwani Afiqah, serta beberapa aktivis Malaysia lain di dalam video berkenaan.
“Pada saat 0.06, kelihatan Kakja dan Ika (The Helmis) bersama rakan-rakan kita. Semangat mereka tinggi, meskipun ditahan, mereka tetap tabah dan reda.
“Khususnya Kakja dan Ika, dua peserta terakhir yang dipilih oleh Sumud Nusantara untuk menyertai flotila kerana kesanggupan mereka datang dari Madinah demi bersama-sama dalam misi ini,” katanya.
Menurut Muhammad Nadir, video tersebut hanyalah propaganda Israel untuk menggambarkan aktivis dan sukarelawan sebagai pengganas.
“Kami tidak menyebarkan video ini kerana mempercayai propaganda mereka, tetapi kerana ingin menunjukkan bagaimana Ben-Gvir berusaha keras untuk menggambarkan peserta flotila sebagai pengganas. Ketika peserta mula melaungkan ‘Free Free Palestine’, video itu terus dipotong.
“Selain itu, dakwaan beliau kononnya hanya ada satu kotak bantuan juga tidak benar. Pasukan Sumud Nusantara telah membeli, membungkus dan mengagihkan pelbagai bentuk bantuan ke dalam beberapa kapal, malah bukti tersebut sudah dikongsi di media sosial kami,” jelasnya.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini