ISTANBUL, 29 Sept – Flotila bantuan antarabangsa yang membawa misi kemanusiaan ke Semenanjung Gaza kini berada kira-kira 399 batu nautika dari wilayah itu dan dijangka tiba esok, menurut penganjur pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam satu kenyataan di platform X, penganjur Flotila Sumud Global (FSG) berkata: “Masa terus berlalu dan flotila bergerak bersamanya – setiap minit membawa kami semakin dekat dengan Gaza dan keadilan untuk rakyatnya.”
Peta laluan perjalanan kapal turut dikongsi, menunjukkan kedudukan flotila yang semakin menghampiri Gaza.
Jurucakap armada Maghreb flotila itu, Wael Naouar, memaklumkan kapal dijangka tiba pada 30 September atau selewat-lewatnya 1 Oktober, bergantung kepada keadaan cuaca.
FSG, yang melibatkan sekitar 50 kapal, berlepas awal bulan ini dengan tujuan memecahkan sekatan Israel serta menghantar bantuan kemanusiaan, termasuk bekalan perubatan, ke Gaza.
Rakaman video oleh seorang aktivis Turkiye menunjukkan sebuah kapal tentera laut Greece yang sebelum ini mengiringi flotila telah berundur di perairan antarabangsa. Namun, tentera laut Itali dan Sepanyol masih meneruskan kawalan keselamatan terhadap konvoi berkenaan.
“Satu-satunya penghalang antara kami dan Gaza sekarang hanyalah laut,” kata seorang aktivis dari Belanda, Ross Ykema, dalam kenyataan video.
Sejak 2 Mac, Israel menutup sepenuhnya lintasan masuk ke Gaza, menghalang kebanyakan penghantaran makanan dan bantuan. Sekatan itu mengakibatkan krisis kebuluran semakin meruncing, manakala hanya sebahagian kecil bekalan yang dibenarkan masuk, itupun sering dirampas kumpulan bersenjata yang didakwa dilindungi pihak berkuasa Israel.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini