BACHOK – Seorang lelaki dipercayai penagih dadah bertindak kejam apabila memukul anak saudaranya berusia tujuh tahun dengan sebatang tukul dalam kejadian di sebuah rumah kedai di Jelawat, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohd. Azrie Sulaiman berkata, mangsa kini dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian.
“Siasatan awal mendapati suspek memarahi mangsa sebelum bertindak memukulnya dengan tukul. Bagaimanapun, motif sebenar masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Selepas kejadian, suspek berusia 46 tahun ditemui mati dipercayai menggantung diri pada sebatang pokok ru di Pantai Melawi, kira-kira jam 5.15 petang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah serta Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini