KUALA LUMPUR – Bermula hari ini, rakyat Malaysia boleh menyemak kelayakan subsidi petrol RON95 melalui inisiatif BUDI MADANI (BUDI95) yang diperkenalkan Kementerian Kewangan.
Portal rasmi www.budimadani.gov.my dibuka mulai jam 9 pagi bagi membolehkan orang ramai menyemak profil kelayakan serta baki kuota subsidi bulanan mereka.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata semakan dibuat secara automatik menggunakan nombor kad pengenalan tanpa memerlukan pendaftaran baharu.
“Pengguna hanya perlu memasukkan MyKad ke dalam alat pembaca di pam minyak untuk pengesahan sebelum membuat bayaran,” katanya.
Cara Subsidi BUDI95 Berfungsi
- Kelayakan: Terbuka kepada warganegara berumur 16 tahun ke atas dengan lesen memandu aktif.
- Had subsidi: 300 liter petrol RON95 sebulan.
- Harga subsidi: RM1.99 seliter (harga pasaran sekitar RM2.60 seliter).
- Lebihan penggunaan: Caj harga pasaran semasa dikenakan.
- E-hailing: Pemandu boleh memohon tambahan kuota melalui portal.
- Pembayaran: Tunai, kad debit/kredit, atau e-dompet.
Setiap resit transaksi akan memaparkan nilai subsidi yang ditanggung kerajaan serta jumlah sebenar yang dibayar pengguna.
Menurut kerajaan, pemansuhan subsidi pukal dijangka menjimatkan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun, yang akan disalurkan semula kepada bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian bantuan BUDI95 di 1300-88-9595.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini