PETALING JAYA, 25 Sept. – Sepanyol mengumumkan penghantaran sebuah kapal perang bagi melindungi konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) yang sedang berlayar menghampiri perairan Gaza, selepas Itali terlebih dahulu menggerakkan kapal tentera laut negara itu untuk tujuan yang sama.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez menegaskan bahawa undang-undang antarabangsa perlu dihormati dan keselamatan warganya yang belayar di Laut Mediterranean mesti dijamin.
“Kami akan menghantar sebuah kapal tentera laut dari Cartagena dengan segala sumber yang diperlukan sekiranya flotila itu memerlukan bantuan atau operasi menyelamat,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) semalam.
Difahamkan, Sepanyol menghantar kapal rondaan laut dalam Furor P-46, manakala Itali mengerahkan kapal frigat tentera laut bagi mengiringi misi kemanusiaan tersebut.
Konvoi berkenaan dilaporkan berdepan ancaman pada Selasa lalu apabila rejim Zionis Israel dipercayai meletupkan bom kilat berhampiran bot yang menyertai misi GSF.
Sukarelawan Malaysia, Zainal Rashid Ahmad atau lebih dikenali sebagai ZRA Strim, berkata letupan itu bertujuan menimbulkan rasa takut dan panik dalam kalangan pelayar.
Selain itu, beberapa objek tidak dikenali turut dijatuhkan daripada dron yang mengekori konvoi tersebut. Walau bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dan pelayaran diteruskan meskipun beberapa bot mengalami kerosakan kecil.
Israel sebelum ini menuduh GSF mempunyai kaitan dengan Hamas, namun pihaknya tidak mengaku bertanggungjawab terhadap insiden tersebut.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini