KOTA KINABALU – Seorang pegawai perubatan dari Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth, dijangka dipanggil memberi keterangan pada prosiding inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir yang bersambung hari ini.
Menurut peguam yang mewakili ibu arwah, Shahlan Jufri, sekiranya masa mengizinkan, ketua warden asrama juga berkemungkinan dipanggil memberikan keterangan selepas pihak doktor selesai memberikan penjelasan.
Setakat ini, enam orang saksi telah tampil memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan. Mereka termasuklah pakar patologi forensik, Dr Jessie Hiu, yang menjalankan bedah siasat; pemeriksa dokumen, Nurul Atiqah Mohd Noh; pegawai perubatan jabatan kecemasan, Dr Janefer Voo; pegawai perubatan bedah saraf, Dr Pavankumar Balachandran; pegawai Siasatan Tempat Kejadian Jenayah (CSI), Inspektor Maidon Bernadus; serta pengawal keselamatan, Linah Mansoding, yang bertugas pada malam kejadian.
Mahkamah Koroner tidak mengeluarkan perintah larangan rasmi, namun mengingatkan semua pihak termasuk media tentang tanggungjawab mereka di bawah Seksyen 15, Akta Kanak-kanak 2001.
Sehubungan itu, lima remaja yang didakwa di Mahkamah Kanak-kanak hanya akan dirujuk sebagai A, B, C, D, dan E sepanjang prosiding inkues berlangsung.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini