KUALA LUMPUR, 16 Sept – Enam pasukan sudah memastikan tempat di suku akhir Piala FA 2025 selepas berjaya melepasi cabaran pusingan 16 pasukan terbaik.
Antara aksi paling dramatik menyaksikan kebangkitan Terengganu FC (TFC) dan Kuching City FC (KCFC) yang bangkit daripada ketinggalan agregat untuk mara.
TFC yang tewas 1-2 kepada Imigresen FC pada perlawanan pertama kembali garang dengan kemenangan 3-0 di aksi timbal balik, sekali gus melangkah dengan agregat 4-2.
KCFC pula mempamerkan kebangkitan luar biasa apabila bangkit daripada kekalahan tipis 2-3 kepada DPMM FC untuk mencatat kemenangan besar 7-1 di aksi kedua, menutup agregat dengan keputusan 9-4.
Dengan kemenangan itu, TFC dan KCFC akan bertembung sesama sendiri di suku akhir.
Pertemuan Ulangan Liga Super
Satu lagi aksi tumpuan mempertemukan Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Selangor FC (SFC).
Pertemuan ini dianggap peluang terbaik buat The Red Giants menebus kekecewaan selepas tewas 1-2 kepada NSFC dalam saingan Liga Super di Paroi bulan lalu.
Menunggu Lawan
Dua lagi pasukan, Penang FC dan Kelantan The Real Warriors (TRW), masih menunggu pengesahan lawan masing-masing.
Namun, peluang besar memihak kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sabah FC yang membawa bekalan selesa selepas membelasah lawan masing-masing di aksi pertama.
Sabah FC menundukkan Bunga Raya 6-0, manakala juara bertahan JDT membenam UM-Damansara United 5-0. Jika tiada kejutan berlaku, Penang dijangka berdepan JDT, manakala TRW bakal menentang Sabah.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini