SEPANG, 15 Sept – Pelakon popular, Fattah Amin, 35, kini sah bergelar suami kepada penyanyi dan pelakon, Amira Othman, 32, selepas mereka disatukan dalam sebuah majlis akad nikah yang berlangsung di sini, malam tadi.
Pasangan itu dinikahkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, dengan sekali lafaz pada jam 9.08 malam.
Fattah, atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, meluahkan rasa syukur kerana majlis berjalan lancar walaupun berdebar ketika saat akad nikah.
“Alhamdulillah, termakbul hari ini. Cuma tadi perasaan saya memang gementar,” katanya.
Menariknya, Fattah turut mendedahkan panggilan mesra buat isterinya adalah “isteri syurga”, yang dikongsi ketika sesi temu bual bersama pengacara Awal Ashaari dan Sissy Imann sejurus selesai majlis.
Sementara itu, Amira mengakui tidak pernah menyangka akan mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat, namun percaya segala yang berlaku adalah aturan Ilahi.
“Allah sudah susun semua ini. Jadi, saya bersyukur dan alhamdulillah semuanya tertulis dengan indah,” ujarnya.
Dalam majlis tersebut, Amira menerima seutas gelang emas sebagai mas kahwin, selain lima dulang hantaran daripada pihak lelaki yang dibalas dengan tujuh dulang hantaran.
Majlis akad nikah bertemakan Setulus Takdir: Fattah Amira itu turut disiarkan secara langsung menerusi aplikasi Unifi TV 2.0 di saluran Inspirasi pada jam 8 malam.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini