LOS ANGELES, 11 Sept. – Charlie Kirk, tokoh aktivis belia konservatif dan sekutu rapat bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dilaporkan maut ditembak ketika berucap pada sebuah majlis di Universiti Utah Valley, semalam. Beliau berusia 31 tahun.
Kejadian tersebut menimbulkan kebimbangan serius terhadap peningkatan keganasan politik yang kian meruncing di Amerika Syarikat.
Trump melalui kenyataan di laman sosial Truth Social mengesahkan kematian Kirk yang mengalami kecederaan parah akibat serangan itu.
Menurut agensi berita AFP, insiden berlaku ketika Kirk sedang menyampaikan ucapan sebelum kedengaran satu das tembakan. Rakaman video menunjukkan beliau rebah ke kerusi, manakala para hadirin panik serta bertempiaran lari.
Siasatan awal mendapati tembakan dipercayai dilepaskan dari bumbung kampus oleh seorang individu berpakaian hitam. Pihak berkuasa menganggap serangan tersebut sebagai satu pembunuhan bersasar.
Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Kash Patel, memaklumkan seorang suspek telah ditahan, namun dibebaskan selepas disoal siasat. Siasatan lanjut masih dijalankan.
Susulan tragedi itu, Trump mengarahkan semua bangunan kerajaan mengibarkan bendera separuh tiang sehingga Ahad ini sebagai tanda berkabung. Bendera di Rumah Putih turut diturunkan separuh tiang sejurus arahan dikeluarkan.
“Tiada sesiapa yang lebih memahami roh belia Amerika selain Charlie. Beliau disayangi serta dikagumi ramai, khususnya saya, dan kini beliau telah tiada,” ujar Trump dalam kenyataannya.
Dalam ucapan video berasingan, Trump menyifatkan kejadian itu sebagai “detik gelap buat Amerika” sambil menuding jari kepada pihak berhaluan kiri radikal serta berikrar mengambil tindakan tegas.
Gabenor Utah, Spencer Cox, menegaskan pembunuhan Kirk adalah pembunuhan politik yang tragis buat negara tersebut.
Kirk, pengasas bersama organisasi Turning Point USA pada tahun 2012, mempunyai pengaruh besar dalam politik belia konservatif dan memainkan peranan penting dalam meraih sokongan pengundi muda terhadap Trump sehingga membawa kemenangan pilihan raya tahun lalu.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, turut menyampaikan takziah dengan menyifatkan Kirk sebagai “sahabat berani Israel dan pembela tamadun Judeo-Kristian.”
“Saya sempat berbicara dengannya dua minggu lalu dan menjemput beliau ke Israel. Malangnya, kunjungan itu tidak akan berlaku,” kata Netanyahu sebagaimana dipetik Reuters.
Kirk meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini