BUDAPEST – Cristiano Ronaldo sekali lagi menjadi penyelamat Portugal selepas membantu pasukan mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas Hungary dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Arena Puskas, awal pagi semalam.
Portugal membuka jaringan menerusi Bernardo Silva sebelum Ronaldo menyempurnakan sepakan penalti dan Joao Cancelo menambah gol ketiga. Tuan rumah tidak kurang hebat apabila Barnabas Varga menyumbang dua gol untuk Hungary.
Jurulatih Portugal, Roberto Martinez menyifatkan kemenangan itu sebagai bukti kematangan pasukan, selain memuji barisan serangan yang semakin seimbang.
“Saya gembira melihat pasukan menjaringkan gol bukan hanya daripada penyerang, tetapi juga pemain posisi lain. Ini menunjukkan kami semakin kuat dan tidak lagi bergantung kepada satu individu,” katanya.
Bagi Ronaldo, sepakan penalti tersebut bukan sahaja memastikan kemenangan, malah menyaksikan beliau menyamai rekod penjaring terbanyak kelayakan Piala Dunia milik Carlos Ruiz dari Guatemala, selain berada tiga gol di hadapan Lionel Messi.
Kini, kapten Portugal itu mengumpul 141 gol daripada 223 penampilan antarabangsa, dengan keseluruhan 943 gol dalam karier profesionalnya.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini