MANCHESTER - Masa depan Andre Onana di Manchester United semakin jelas selepas kelab itu dilaporkan bersetuju untuk melepaskan penjaga gol Cameroon tersebut ke kelab Turkiye, Trabzonspor, secara pinjaman semusim.
Onana, yang tiba dari Inter Milan pada 2023, gagal menambat kepercayaan pengurus baharu Ruben Amorim. Dia sekadar menjadi pilihan kedua dalam dua aksi Liga Perdana Inggeris, selain mempamerkan aksi goyah ketika United disingkirkan Grimsby Town dalam saingan Piala Liga.
Kedatangan penjaga gol muda Belgium, Senne Lammens dari Royal Antwerp, turut menambah tekanan dan menyulitkan peluang Onana untuk kembali sebagai pilihan utama di Old Trafford.
Menurut laporan, persetujuan secara lisan sudah dicapai, dengan Onana bersedia mencuba cabaran baharu di Turkiye. Pemergiannya bermakna Altay Bayindir akan terus kekal bersama skuad United walaupun turut berdepan isu prestasi.
Sejak menyertai United, Onana sering dikritik kerana kesilapan yang memberi kesan besar kepada keputusan perlawanan. Dalam 102 penampilan, dia telah melepaskan 150 gol, menjadikan posisi penjaga gol antara titik lemah utama skuad The Red Devils di era Erik ten Hag.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini