PETALING JAYA – Lebih 1,000 pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Indonesia dinasihatkan agar tidak mendekati kawasan rusuhan susulan ketegangan politik dan sosial yang berlaku di beberapa wilayah negara itu.
Education Malaysia Indonesia (EMI) memaklumkan, pihaknya telah mengeluarkan arahan kepada Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Malaysia (PKPMI) di peringkat pusat serta cawangan untuk meningkatkan langkah keselamatan.
“PKPMI diminta menghantar laporan situasi harian kepada EMI dan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta bagi tujuan pemantauan,” kata EMI dalam kenyataan hari ini.
Yang Dipertua PKPMI Cawangan Jambi, Ahmad Dhia Hariz Mohd. Rahisham turut menasihatkan semua pelajar agar mengelakkan diri daripada lokasi demonstrasi, walaupun keadaan di wilayah itu masih terkawal.
“Setakat ini, semua pelajar Malaysia di Jambi dilaporkan selamat,” katanya.
Ketegangan di Indonesia memuncak selepas seorang penunggang ojek, Affan Kurniawan, maut dilanggar kenderaan polis semasa demonstrasi di Jakarta. Insiden itu mencetuskan kemarahan awam, ditambah dengan isu elaun perumahan ahli parlimen bernilai 50 juta rupiah (RM14,500) sebulan serta tekanan ekonomi akibat kos sara hidup tinggi, pemecatan besar-besaran dan cukai hartanah yang membebankan.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini