LEVERKUSEN – Era Erik Ten Hag di Bayer Leverkusen berakhir pantas selepas pengurusan kelab mengumumkan pemecatannya berikutan prestasi hambar pada permulaan musim Bundesliga.
Leverkusen gagal mencatat sebarang kemenangan dalam dua perlawanan awal liga, hanya meraih satu mata. Mereka tewas 1-2 di laman sendiri kepada Hoffenheim, sebelum sekadar seri 3-3 menentang Werder Bremen meskipun lawan beraksi dengan 10 pemain.
Keputusan itu menimbulkan kekecewaan besar buat pihak pengurusan yang mengharapkan Ten Hag mampu meneruskan momentum cemerlang ditinggalkan bekas jurulatih, Xabi Alonso.
Dalam satu kenyataan rasmi, kelab mengesahkan pemecatan Ten Hag dengan serta-merta. Buat sementara waktu, sesi latihan akan dikendalikan oleh pembantu jurulatih Andries Ulderink dan Rogier Meijer.
Ten Hag sebelum ini pernah dianggap antara pengendali terbaik di Eropah, namun reputasinya merosot selepas diberhentikan Manchester United pada musim lalu.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini