PETALING JAYA, 28 Ogos – Gempa bumi berukuran 3.2 magnitud yang melanda Segamat, Johor semalam berpunca daripada pergerakan kerak benua, menurut Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).
Dalam kenyataan hari ini, JMG menegaskan kejadian itu tidak berkaitan dengan aktiviti gunung berapi atau subduksi laut dalam. Malaysia, katanya, berada di atas Plat Sunda yang stabil, namun masih menerima tekanan daripada sistem tektonik serantau, khususnya Jalur Subduksi Sunda di barat Sumatera.
“Analisis awal mendapati gempa bumi ini berpunca daripada pergerakan sesar mendatar sinistral dengan kedalaman cetek sekitar 10 kilometer, sekali gus mengesahkan ia berpunca daripada kerak benua,” kata JMG.
Agensi itu menjelaskan tekanan tektonik berpotensi mengaktifkan semula sesar di Semenanjung Malaysia, sekali gus menghasilkan gempa kecil hingga sederhana. Rekod terdahulu menunjukkan beberapa kejadian di Bukit Tinggi (Pahang), Kenyir (Terengganu), Kuala Pilah (Negeri Sembilan), serta Manjung-Temenggor (Perak). Johor sendiri pernah mengalami gegaran kecil pada 2021 dan 2023 akibat aktiviti seismik luar pesisir Sumatera.
“Semua insiden ini menunjukkan Semenanjung masih menyimpan tegasan tektonik yang boleh dilepaskan dari semasa ke semasa. Pemantauan berterusan, pemetaan semula sesar, dan pembangunan sistem amaran awal amat penting bagi melindungi masyarakat serta infrastruktur,” jelas kenyataan itu.
JMG bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan terus memperkukuh pemantauan serta analisis saintifik kawasan berisiko, termasuk ancaman gempa dari dalam negara mahupun negara jiran.
Gempa bumi lemah itu berlaku pada jam 8.59 pagi semalam, kira-kira 18 kilometer selatan Segamat, berpusat pada koordinat 2.33 darjah Utara dan 102.79 darjah Timur, dengan gegaran dilaporkan dirasai di beberapa kawasan di Johor dan selatan Pahang.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini