ENGLEWOOD, Colorado, 20 Ogos 2025 — Hani Nur Zaihanirah Zaini, DTM, dari Kuching, Sarawak, Malaysia, telah dipilih sebagai Ahli Lembaga Pengarah Toastmasters International, organisasi terkemuka dunia dalam pembangunan kemahiran komunikasi dan kepimpinan. Pemilihan beliau bagi penggal dua tahun 2025–2027 dibuat semasa Konvensyen Antarabangsa Toastmasters 2025 yang berlangsung di Philadelphia, Amerika Syarikat, pada 20 hingga 23 Ogos lalu.
Beliau merupakan wanita pertama dari Sarawak yang memegang jawatan tersebut hasil proses pencalonan global yang ketat, sekali gus menempatkan dirinya dalam kelompok pemimpin berprestij di peringkat antarabangsa.
Hani kini berkhidmat sebagai Pengurus Besar Kumpulan Faradale Holdings di Kuching, dengan tanggungjawab terhadap kepimpinan strategik, pertumbuhan perniagaan, keunggulan operasi, penstrukturan organisasi serta pengurusan pihak berkepentingan dan pasukan kerja.
Selain itu, beliau turut aktif dalam Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak serta jawatankuasa lembaganya. Dengan kepakaran perniagaan yang kukuh, beliau menyumbang kepada misi organisasi itu dalam memajukan pembangunan sosioekonomi dan pemerkasaan belia di Sarawak, melalui inisiatif strategik, program libat sama masyarakat, serta usaha membina kapasiti kepimpinan.
Hani memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Seni Bina dari Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Sibu. Beliau juga memiliki pensijilan Certified Digital Marketing Associate daripada Digital Marketing Institute, Ireland, serta kelayakan sebagai jurulatih bertauliah.
Sejak menyertai Toastmasters pada tahun 2013, Hani menjadi ahli kepada dua kelab induk, iaitu AZAM Toastmasters Club dan Vivid Voices Podcast Toastmasters. Beliau pernah memegang pelbagai jawatan kepimpinan penting dalam organisasi itu, selain mencapai tahap Distinguished Toastmaster (DTM), pencapaian pendidikan tertinggi dalam Toastmasters International.
Menurut Hani, “Toastmasters ibarat sebuah pintu yang membuka kepada diri kita versi baharu lebih yakin, lebih berupaya dan lebih berani. Di sebalik pintu itu terdapat keyakinan untuk bersuara, kemahiran untuk memimpin, serta komuniti yang benar-benar menyokong perkembangan diri. Melangkah ke dalam dunia ini merupakan antara keputusan terbaik yang pernah saya buat, dan saya yakin ia juga mampu membawa manfaat kepada sesiapa sahaja yang ingin berkembang.”
Sebagai Ahli Lembaga Pengarah Toastmasters International, Hani berperanan sebagai “duta kerja” organisasi tersebut. Beliau bekerjasama dengan lembaga dalam merangka, menyokong, dan menambah baik dasar serta prosedur yang menjadi panduan kepada misi Toastmasters International di seluruh dunia.
Sumber: Sarawak Edition
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini