KUALA LUMPUR – Pelakon Hollywood, Mark Ruffalo, lantang mengecam tindakan Israel yang didakwanya menutup akses makanan dan terus menyerang Gaza hingga menyebabkan penduduk di wilayah itu berdepan kebuluran.
Dalam video penuh emosi yang dimuat naik di Instagram, bintang filem berusia 57 tahun itu menyeru Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, serta pemimpin Eropah untuk segera campur tangan menghentikan penderitaan rakyat Palestin.
“Israel dan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mempunyai bekalan makanan di sempadan, tetapi di Gaza, tiada apa-apa.
Jangan biarkan Gaza kebuluran. Bersuara! Jangan berhenti sehingga ada keamanan yang adil dan berkekalan,” kata Ruffalo, terkenal dengan watak Hulk dalam francais Marvel.
Ruffalo menegaskan bahawa lebih 80 peratus mangsa perang di Gaza terdiri daripada orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak, dan menyifatkan keadaan itu sebagai “jenayah terhadap kemanusiaan”.
“Ini bukan bencana alam, tetapi akibat keputusan yang disengajakan. Kebuluran paksa sedang berlaku. Anak-anak dan keluarga dibiarkan melarat, sementara dunia hanya berdiam diri.
Pemimpin dunia, diam anda adalah bentuk subahat. Kemanusiaan menuntut lebih daripada kita. Lakukan sesuatu!” tegasnya.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 23 Ogos lalu secara rasmi mengisytiharkan kebuluran di Semenanjung Gaza. Laporan menunjukkan hampir satu perempat penduduk Palestin lebih 500,000 orang kini berdepan kelaparan serius.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini