KUCHING, 26 Ogos – Penduduk Bintulu gempar apabila cahaya pelik menyerupai tiang bercahaya muncul di langit sekitar jam 8.30 malam semalam. Fenomena itu jelas kelihatan di beberapa kawasan termasuk Tanjung Kidurong, Kampung Jepak dan pusat bandar, sekali gus menarik perhatian orang ramai yang merakam dan berkongsi video di media sosial.
Kejadian itu mencetuskan pelbagai spekulasi, termasuk dakwaan kononnya ia berpunca daripada kehadiran makhluk asing.
Namun, menurut penggemar astronomi Dr Zurwina Sharkawi, fenomena berkenaan sebenarnya dikenali sebagai “light pillars” atau tiang cahaya, satu fenomena optik semula jadi.
“Fenomena ini berlaku apabila cahaya daripada sumber seperti lampu jalan dipantulkan oleh kristal ais kecil berbentuk rata yang terapung di udara, biasanya dalam keadaan cuaca sejuk atau lembap pada waktu malam,” jelasnya.
Kristal ais berbentuk heksagon itu memantulkan cahaya secara menegak, lalu menghasilkan jalur cahaya yang kelihatan seolah-olah turun dari langit. Fenomena ini lazimnya berlaku di kawasan bandar dengan pencahayaan yang banyak serta keadaan atmosfera yang sesuai.
Dr Zurwina menegaskan, orang ramai tidak perlu panik atau membuat spekulasi berlebihan kerana fenomena ini boleh dijelaskan secara saintifik dan maklumat mengenainya mudah diakses.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini