BAITULMAQDIS – Kesatuan agensi media antarabangsa, Foreign Press Association (FPA), menuntut penjelasan segera daripada tentera Israel (IDF) dan pejabat Perdana Menteri Israel berhubung serangan ke atas Hospital Nasser di selatan Gaza yang mengorbankan lima wartawan.
“Kami mendesak penjelasan segera daripada pihak IDF dan pejabat perdana menteri Israel. Kami juga menggesa Israel menghentikan amalan berbahaya menyasarkan wartawan,” tegas FPA dalam satu kenyataan.
Pejabat media kerajaan Gaza sebelum ini mengesahkan empat wartawan terkorban dalam serangan berkenaan. Mereka ialah jurufoto Reuters, Hossam al-Masri; jurufoto Al Jazeera, Mohammed Salama; wartawan yang menulis untuk beberapa agensi termasuk The Independent Arabic dan Associated Press, Mariam Abu Daqa; serta wartawan rangkaian NBC, Moaz Abu Taha.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang lagi jurukamera Palestin TV, Khaled al-Madhoun, dilaporkan terbunuh dua hari lalu dalam serangan udara berasingan oleh tentera Israel.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini