GAZA, 20 Ogos – Seorang wanita Palestin, Saja Hamad, 23, berjaya diselamatkan selepas tertimbus di bawah runtuhan rumahnya akibat serangan udara Israel di Nuseirat, Gaza Tengah.
Momen menyayat hati itu dirakam dalam sebuah video diperoleh Reuters, yang memperlihatkan Saja tersepit di bawah timbunan batu dan besi sambil menahan kesakitan, sementara pasukan penyelamat bertungkus-lumus menggali untuk membawanya keluar.
Saja kemudiannya dikejarkan ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut. Difahamkan, beliau masih trauma dengan kejadian berkenaan.
Insiden ini berlaku selepas serangan mendadak tentera Israel yang memusnahkan rumahnya. Walaupun lokasi rakaman tidak dapat disahkan sepenuhnya, klip asal video berkenaan mengesahkan tarikh kejadian.
Serangan berterusan Israel sejak Oktober 2023 telah menimbulkan krisis kemanusiaan besar di Gaza, dengan ribuan kediaman musnah dan hampir 10,000 rakyat Palestin masih hilang, dipercayai tertimbus di bawah runtuhan.
Pasukan penyelamat berdepan cabaran besar untuk mencari mangsa akibat kekangan keselamatan serta kesukaran mengakses kawasan terjejas.
Kisah Saja yang ditemui hidup selepas berjam-jam terperangkap memberi sedikit sinar harapan kepada penduduk Gaza, yang semakin tertekan akibat konflik berlarutan dan kehilangan ribuan nyawa.
Sumber: Sinar Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini