KUANTAN – Dua juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terlibat dalam insiden pesawat F/A-18D Hornet terhempas di Pangkalan Udara Kuantan malam tadi dilaporkan hanya cedera ringan dan sudah dibenarkan keluar dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Menurut sumber, juruterbang berpangkat mejar mengalami kecederaan di bahagian tulang belakang (koksiks) serta melecur di belakang tumit kiri, manakala seorang lagi pegawai berpangkat kapten hanya cedera tisu lembut di bahagian belakang badan dan paha.
Kedua-dua mangsa dirujuk ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAA kira-kira jam 10 malam sebelum dibenarkan pulang awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 9.05 malam, pesawat pejuang itu dilaporkan terhempas sebaik berlepas dari landasan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah. Visual yang tular di media sosial turut memaparkan percikan api dan letupan, selain kedua-dua anggota TUDM sempat menyelamatkan diri menggunakan kerusi anjal.
Sumber: Harian Metro
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini