KOTA KINABALU – Lima remaja yang didakwa berhubung kes buli melibatkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap mangsa.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama. Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, memaklumkan tiada pengakuan salah direkodkan, dan sebutan semula kes ditetapkan pada 25 September depan.
“Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan deposit RM1,000 serta seorang penjamin,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kelima-lima remaja tersebut didakwa secara bersama menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina pada 15 Julai lalu, antara jam 10 hingga 11 malam.
Bagaimanapun, mahkamah mengeluarkan perintah larangan yang mengehadkan pendedahan lanjut mengenai prosiding berkenaan.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk menuduh kelima-lima suspek yang dipercayai terlibat dalam kes buli berkenaan. AGC menegaskan, tindakan itu tidak akan menjejaskan proses inkues kematian Zara Qairina yang dijadualkan berlangsung bulan depan.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini