BINTULU, 24 Julai – Sarawak terus mengukir nama di pentas teknologi global apabila peranti penukar kuasa berasaskan kecerdasan buatan (AI) pertama dunia, KETEQ AI, dijangka menerima kelulusan pendaftaran harta intelek (IP) antarabangsa menjelang hujung tahun ini.
Peranti revolusioner itu dibangunkan oleh SMD Semiconductor Sdn. Bhd., syarikat tempatan yang diterajui oleh anak jati Sarawak, Mohd Shariman Jamil, dengan kerjasama strategik CSA Catapult dari United Kingdom dan sokongan Kerajaan British.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, mengumumkan pencapaian membanggakan ini ketika merasmikan Jambatan Tun Taib Mahmud di Bintulu, malam tadi.
“Alhamdulillah, kita sudah ada syarikat yang mengeluarkan cip AI pertama di dunia. Ia dicipta oleh anak Sarawak, Mohd Shariman Jamil, dan dijangka mendapat pengiktirafan IP global hujung tahun ini,” katanya.
Menurut beliau, projek pembangunan cip nano ini bermula pada April 2024 dan merupakan sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030, yang menyasarkan Sarawak sebagai hab teknologi tinggi serantau.
Prototaip KETEQ AI telah dilancarkan oleh Abang Johari sendiri ketika lawatan ke fasiliti CSA Catapult di Cardiff, Wales pada April lalu. Cip ini berupaya mengumpul data, menganalisis, dan bertindak balas dalam masa kurang 0.3 saat untuk pelbagai aplikasi seperti tenaga, automotif, dan sistem kritikal kompleks.
Peranti ini direka untuk operasi berskala masa nyata dan dijangka memainkan peranan besar dalam sektor seperti grid pintar, kenderaan elektrik, automasi industri, IoT, penyelenggaraan ramalan, serta sistem misi kritikal.
Dalam ucapannya, Abang Johari turut menyeru anak-anak Sarawak untuk merebut peluang pendidikan percuma yang bakal dilaksanakan tahun depan, sebagai landasan mencapai status negeri maju menjelang 2030.
“Dengan anak-anak yang berilmu, mereka mampu menyumbang kepada ekonomi menerusi pekerjaan bergaji tinggi dalam bidang strategik. Inilah cara kita memerangi kemiskinan,” tambah beliau.
Beliau turut menyatakan bahawa minat pelaburan asing yang semakin meningkat termasuk dari Jepun, Korea, dan Belgium, membuktikan keyakinan global terhadap Sarawak sebagai destinasi ekonomi berprofil tinggi. Kerajaan negeri komited untuk memperkukuh infrastruktur, termasuk pembinaan sekolah antarabangsa bagi menarik lebih ramai pelabur.
Sumber: Suara Sarawak
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini