BINTULU, 24 Julai - Jambatan Tun Taib Mahmud, yang siap sepenuhnya pada 23 Mac lalu, kini menjadi simbol kemajuan dan kebanggaan baharu bagi penduduk Bintulu.
Dengan panjang 870 meter dan dibina pada kos RM466.7 juta, jambatan moden ini bukan sahaja menghubungkan kawasan merentasi Sungai Kemena, tetapi juga menyerlahkan keupayaan Kerajaan Sarawak membangunkan infrastruktur tanpa bergantung kepada dana Persekutuan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, struktur ikonik itu dibina dengan ketinggian 26 meter dari paras sungai, membolehkan kapal dari laut melaluinya dengan mudah.
"Jambatan ini setanding dengan struktur terkenal seperti Golden Gate di San Francisco. Ia melambangkan kemajuan negeri dan semangat rakyat Sarawak," katanya ketika merasmikan jambatan berkenaan malam tadi.
Uggah turut menyambut baik sambutan rakyat terhadap penganjuran Jepak Bridge Walk baru-baru ini, yang menyaksikan penyertaan lebih 2,600 peserta, satu petanda jelas bahawa masyarakat menerima baik kemudahan baharu ini.
“Acara seperti ini bukan sahaja memeriahkan suasana, tetapi juga menyatukan rakyat. Kita berharap program serupa dapat dilaksanakan di semua 17 jambatan lain di Sarawak sempena sambutan Hari Sarawak,” tambahnya.
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini

WHAT’S HOT

24 July 2025 | 11:24 AM