KUALA LUMPUR, 23 Julai – Kumpulan rock terkenal dari Amerika Syarikat, My Chemical Romance (MCR), menambah satu lagi malam persembahan di Malaysia selepas tiket untuk konsert asal mereka habis terjual dalam masa 90 minit.
Penganjur konsert, Hello Universe, mengumumkan penambahan malam kedua itu akan berlangsung pada 1 Mei 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil, susulan sambutan luar biasa peminat untuk konsert asal pada 30 April 2026.
“Kami mendengar permintaan anda. Ini adalah satu-satunya persembahan dua malam MCR di Asia Tenggara – peluang terakhir untuk menyaksikan aksi rock ikonik ini,” kata penganjur menerusi hantaran di Instagram rasmi mereka.
Tiket untuk malam kedua akan mula dijual pada 1 Ogos 2025.
Selain Malaysia, MCR turut dijadualkan membuat persembahan di negara Asia lain seperti Korea Selatan, Thailand, Filipina, Singapura, dan Indonesia sebagai sebahagian daripada jelajah My Chemical Romance South East Asia Tour 2026.
Pada 11 Julai lalu, tiket bagi konsert pertama mereka di Kuala Lumpur – sebanyak 60,000 unit – habis terjual dalam tempoh hanya satu jam setengah, mencetuskan fenomena ‘perang tiket’ dalam talian. Ramai peminat kecewa apabila platform jualan seperti GoLive Asia dan Hello Universe mengalami gangguan teknikal akibat jumlah trafik yang tinggi.
Kali terakhir MCR mengadakan konsert di Malaysia adalah pada 2007, menerusi siri jelajah The Black Parade World Tour di Stadium Merdeka, yang menyaksikan lebih 10,000 peminat membanjiri lokasi bersejarah itu.
Kumpulan yang ditubuhkan pada 2001 ini dianggotai Gerard Way (vokalis), Ray Toro (gitar), Frank Iero (gitar), dan Mikey Way (bes), terkenal dengan lagu-lagu ikonik seperti Welcome to the Black Parade, Helena, I Don’t Love You, dan I’m Not Okay.
Dengan penambahan malam kedua ini, Kuala Lumpur kini menjadi satu-satunya lokasi di Asia Tenggara yang bakal menyaksikan dua malam berturut-turut persembahan MCR – sesuatu yang pasti dinantikan peminat tegar mereka.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini