PETALING JAYA, 21 Julai – Hasrat selebriti serba boleh, Alif Satar, untuk kekal aktif di padang bola sepak terganggu apabila mengalami kecederaan serius pada kaki kanan semasa perlawanan bola sepak tujuh sebelah di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, baru-baru ini.
Alif, 34, yang juga penyanyi, pelakon dan pengacara, memaklumkan kejadian berlaku selepas dia diterjah oleh pemain lawan sehingga terdengar bunyi seperti sesuatu patah.
“Ketika diterjah, saya dengar bunyi ‘crack!’. Selepas menjalani pemeriksaan MRI keesokan harinya, doktor sahkan ligamen ATFL saya koyak,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Kecederaan tersebut menyebabkan kaki Alif membengkak dan menuntut rawatan lanjut. Meskipun perit, Alif menyifatkan insiden itu sebagai pengalaman yang tidak akan dilupakan, lebih-lebih lagi kerana kehadiran legenda bola sepak Manchester United, Ryan Giggs, yang turut berada di padang dan mengambil berat tentang keadaannya.
“Ryan Giggs datang ziarah saya. Saya juga dibantu jiran saya yang sangat prihatin, Safiq Rahim, bekas pemain kebangsaan. Dia beri nasihat agar saya tidak bermain bola buat sementara waktu,” katanya.
Alif yang dikenali sebagai seorang yang aktif dalam sukan dan aktiviti lasak turut meluahkan kebimbangan mengenai tempoh pemulihan kecederaan itu.
Ini kerana beliau dijadualkan untuk menyertai acara larian bertaraf antarabangsa, Berlin World Majors Marathon, yang akan berlangsung pada 21 September ini.
Maraton tersebut merupakan antara acara paling berprestij dalam kalendar larian dunia dan menjadi impian ramai pelari untuk menyertainya.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini