TOKYO, 20 Julai – Pasangan beregu wanita negara Pearly Tan dan M. Thinaah terpaksa berpuas hati sebagai naib juara Terbuka Jepun selepas tewas kepada gandingan nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu dan Tan Ning, dalam aksi final sebentar tadi.
Bertarung di Gimnasium Metropolitan Tokyo dalam kejohanan bertaraf Super 750, pasangan nombor tiga dunia itu gagal menampilkan prestasi terbaik apabila tewas dalam dua set terus, 15-21, 14-21, dalam perlawanan yang berlangsung selama 45 minit.
Walaupun cuba memperkemas corak permainan pada set kedua, kelebihan pengalaman nyata memihak kepada Sheng Shu dan Tan Ning yang kekal tenang untuk memastikan kemenangan.
Kekalahan itu menyaksikan rekod pertemuan Pearly-Thinaah dengan beregu China itu semakin melebar, kini tewas sembilan kali dalam 12 pertemuan.
Namun begitu, pasangan negara tetap membawa pulang wang tunai AS$33,250 (kira-kira RM141,182) sebagai naib juara. Sementara itu, juara kejohanan Sheng Shu-Tan Ning membawa pulang hadiah utama bernilai AS$70,300 (sekitar RM298,500).
Pencapaian Pearly-Thinaah kali ini turut menyamai rekod terdahulu yang dipegang pasangan lagenda negara, Chin Eei Hui dan Wong Pei Tty, yang muncul naib juara pada edisi 2008.
Sumber: Sinar Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini