ROM, 18 Julai – Atlet sukan ekstrem terkenal dari Austria, Felix Baumgartner, 56, dilaporkan maut selepas terhempas ke dalam kolam renang sebuah hotel ketika melakukan aktiviti luncur udara (paragliding) di Itali, menurut laporan portal MailOnline.
Baumgartner, yang terkenal dengan aksi terjun bebas dari sempadan angkasa pada tahun 2012, dilaporkan mengalami insiden tragik itu di wilayah Marche pada petang semalam, sekitar jam 4 petang waktu tempatan.
Menurut sumber, beliau melakukan aktiviti luncur udara di kawasan pantai sebelum mengadu rasa tidak sihat. Keadaan itu menyebabkan beliau hilang kawalan ke atas payung terjunnya, lalu terjatuh ke dalam kolam renang di tapak perkhemahan Le Misome.
Beliau ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mengalami serangan jantung. Pasukan penyelamat mengesahkan beliau meninggal dunia di lokasi kejadian.
Insiden tersebut turut mencederakan seorang wanita yang berada berhampiran kawasan pendaratan. Mangsa dilaporkan telah dikejarkan ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.
Difahamkan, sebelum kejadian, Baumgartner sempat memuat naik video di Instagram dengan kapsyen: “Angin terlalu kuat.”
Pihak berkuasa tempatan sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden berkenaan.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini