BOSTON – Sebuah klip video tular di media sosial memaparkan sepasang individu berpelukan ketika menonton konsert Coldplay di Boston, Amerika Syarikat, kini menjadi bualan hangat selepas identiti mereka terbongkar.
Pasangan tersebut dikenali sebagai Andy Byron, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat teknologi Astronomer, dan Kristin Cabot, Ketua Pegawai Sumber Manusia syarikat sama.
Insiden itu berlaku ketika vokalis Coldplay, Chris Martin, sedang berinteraksi dengan penonton, sebelum menyedari pasangan tersebut terpampang di skrin gergasi. Martin secara berseloroh berkata: “Lihat mereka berdua. Sama ada mereka menjalin hubungan sulit atau mereka sekadar malu.”
Namun, keadaan bertukar kontroversi apabila netizen mendapati kedua-dua individu itu sebenarnya sudah berkahwin dan mempunyai anak dengan pasangan masing-masing.
Tularnya klip berkenaan turut mencetuskan spekulasi mengenai hubungan mereka, lebih-lebih lagi apabila isteri Andy, Megan Kerrigan Byron, dilaporkan telah memadamkan nama suaminya dari profil Facebook miliknya.
Situasi semakin rumit apabila warganet turut mengenal pasti seorang wanita yang berada berhampiran mereka dalam video tersebut sebagai pekerja di syarikat Astronomer. Menurut dakwaan, wanita berkenaan baru sahaja dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Senior oleh Kristin Cabot.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Andy Byron atau pihak syarikat berhubung kontroversi tersebut.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini