KUCHING, 17 Julai 2025 – Kerajaan Sarawak menyatakan sokongan penuh terhadap larangan penjualan dan penggunaan vape di negeri ini susulan peningkatan penyalahgunaan peranti itu, terutamanya dalam kalangan remaja.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, vape kini disalahgunakan dengan campuran bahan terlarang seperti dadah sintetik dan halusinogen, menjadikannya satu isu kesihatan yang serius.
“Dulu vape hanya dilihat sebagai alternatif kepada rokok, tetapi kini ia digunakan dengan bahan seperti dadah stimulan. Ini sangat membimbangkan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) di Kuching, Rabu.
Mesyuarat itu sebulat suara bersetuju untuk mengharamkan penggunaan vape di Sarawak. Namun, Abdul Karim menjelaskan pelaksanaan larangan secara menyeluruh memerlukan tindakan di peringkat Persekutuan.
“Kita boleh keluarkan fatwa, tapi untuk dikuatkuasakan sebagai undang-undang, Parlimen perlu luluskan rang undang-undang khusus,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan agar undang-undang yang lebih ketat digubal jika vape terus disalahgunakan dengan campuran bahan terlarang seperti ‘mushroom’ dan dadah sintetik.
Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022, Sarawak mencatatkan kadar penggunaan vape tertinggi di Malaysia dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 17 tahun, dengan prevalens 20.3 peratus atau kira-kira 39,600 individu.
Situasi itu mendorong kerajaan negeri memperkukuh kerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan pertubuhan belia dalam program pendidikan dan pencegahan dadah.
Dalam perkembangan lain, Abdul Karim mencadangkan penubuhan makmal patologi baharu di Miri untuk mempercepat proses pengesanan kes penyalahgunaan dadah bagi zon utara Sarawak, memandangkan makmal sedia ada hanya terdapat di Kuching.
Sumber: UKAS
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini