BANYUWANGI, 11 Julai 2025 – Polis Daerah Jawa Timur mengesahkan identiti tiga daripada empat mangsa yang terkorban dalam tragedi kapal KMP Tunu Pratama Jaya yang karam di perairan Selat Bali pada 2 Julai lalu. Salah seorang mangsa dikenalpasti sebagai warga Malaysia.
Ketua Subdirektorat Kedokteran Kepolisian (Subdit Dokpol) Polda Jawa Timur, Adam Bimantoro berkata, mangsa warga Malaysia dikenali sebagai Fauzey Awang, 58 tahun. Pengenalan dibuat berdasarkan data perubatan dan barangan peribadi termasuk dompet serta kad pengenalan.
Dua lagi mangsa yang dikenal pasti ialah:
-
Noval Hardiansyah, 15 tahun, dari Desa Singojuruh, Kabupaten Banyuwangi
-
Sofyan Wibowo, 18 tahun, dari Kecamatan Susukan, Kabupaten Banjarnegara, Jawa Tengah
"Pemeriksaan perubatan dan pengecaman barangan peribadi digunakan dalam proses pengesahan," kata Adam dalam sidang media di Hospital RSUD Blambangan, Banyuwangi malam tadi.
Satu lagi mayat yang belum dikenal pasti ialah seorang wanita yang ditemui pada Khamis (10 Julai) di Pantai Plengkung, kawasan Taman Nasional Alas Purwo. Mayat itu berpakaian seluar pendek jeans biru ketika ditemui.
Menurut pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Pelabuhan Ketapang, seramai 15 mangsa disahkan meninggal dunia setakat malam Khamis, termasuk satu mangsa yang masih belum dikenal pasti.
Seramai 30 orang diselamatkan, manakala 20 lagi masih hilang dan operasi pencarian masih giat diteruskan.
Kapal feri KMP Tunu Pratama Jaya yang membawa 53 penumpang, 12 anak kapal serta 22 unit kenderaan, karam ketika dalam pelayaran di perairan Selat Bali pada 2 Julai lalu.
Sumber: Harian Metro
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini