PETALING JAYA, 10 Julai – Tun Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri paling lama memimpin Malaysia, hari ini menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-100, satu pencapaian bersejarah bagi tokoh yang memainkan peranan penting dalam membentuk landskap politik dan ekonomi negara.
Dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 10 Julai 1925, Mahathir merupakan anak bongsu daripada sembilan beradik. Sepanjang kerjayanya, beliau menerajui dua pentadbiran sebagai perdana menteri: pertama selama 22 tahun di bawah Barisan Nasional (1981–2003) dan kali kedua selepas kemenangan Pakatan Harapan pada 2018, sebelum meletak jawatan pada awal 2020.
Digelar ‘Bapa Pemodenan’ Malaysia, Mahathir dikenang atas pelbagai inisiatif pembangunan negara, termasuk pembinaan Menara Berkembar Petronas, Menara KL, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dan penubuhan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran persekutuan.
Beliau turut melancarkan Proton, jenama kereta nasional pertama, dan memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur yang menggalakkan kerjasama dengan Jepun dan Korea Selatan dalam bidang ekonomi dan pendidikan.
Di bawah kepimpinannya, Malaysia muncul sebagai salah satu ‘Harimau Asia’ dengan pertumbuhan pesat hasil dasar perindustrian dan penswastaan syarikat milik kerajaan seperti Tenaga Nasional dan Telekom Malaysia.
Ketika krisis kewangan Asia 1997, Mahathir mengambil langkah drastik dengan mengenakan kawalan modal dan menambat ringgit kepada dolar AS, sambil menolak bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), keputusan yang kekal kontroversi namun berani.
Kini pada usia 100 tahun, Mahathir masih lantang bersuara dalam politik negara. Beliau merupakan penasihat kepada empat kerajaan negeri pimpinan PAS – Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis, dan kekal sebagai pengkritik terbuka terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta gabungan kerajaan perpaduan.
Mahathir dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, 98, dikurniakan tujuh cahaya mata: Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura dan Mazhar.
Sumber: Sinar Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini