KUCHING, 9 Julai – Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin dijadual menyempurnakan Upacara Menaikkan Bendera Ibu Pertiwi bagi edisi Julai pada Ahad ini, 13 Julai, bermula jam 8 pagi di Dataran Ibu Pertiwi, Kuching.
Menurut kenyataan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) hari ini, upacara bulanan itu kali ini bertemakan “Hari Sarawak” bersempena sambutan Hari Sarawak yang diraikan setiap 22 Julai.
DBKU memaklumkan, penganjuran upacara ini bertujuan menyemai semangat patriotisme dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat Sarawak.
“Dengan tema Hari Sarawak, DBKU dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan Sarawak terus menyemarakkan sambutan ini melalui upacara menaikkan Bendera Ibu Pertiwi yang menjadi lambang kebanggaan bandar raya Kuching.
“Seperti kebiasaan, bendera Ibu Pertiwi yang bersaiz 25 meter panjang dan 12.4 meter lebar akan dinaikkan setinggi 99.4 meter dalam suasana penuh tertib dan hormat,” kata kenyataan itu.
Upacara tersebut akan dimulakan dengan pemeriksaan Pasukan Kawalan Kehormatan DBKU, diikuti dengan nyanyian lagu kebesaran negeri, Ibu Pertiwiku, serta persembahan khas yang turut memeriahkan majlis.
Sejak diperkenalkan pada Julai 2024, upacara menaikkan bendera ini kekal sebagai salah satu inisiatif bermakna DBKU dalam menyemarakkan semangat cinta akan negeri dan jati diri dalam kalangan rakyat.
Terdahulu, pada 28 Julai 2024, upacara yang sama telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Majlis ini diadakan pada Ahad pertama setiap bulan dan dibuka kepada orang awam yang ingin turut serta menyemarakkan semangat kenegaraan.
Sumber: TVS
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini