LIMBANG, 9 Julai – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas dipercayai disambar buaya ketika memancing di Kampung Pandam semalam, ditemui meninggal dunia petang ini.
Mangsa, dikenali sebagai Karim Osman, 58 tahun, ditemui kira-kira jam 2.28 petang oleh Pasukan Bomba Sukarela Kampung Seberang Kedai, yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Menurut Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang, Ramlan Marajan, mayat mangsa ditemui dalam keadaan sempurna di kawasan hilir sungai, kurang satu kilometer dari lokasi kejadian.
“Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Insiden tersebut berlaku semalam apabila mangsa dilaporkan hilang semasa memancing di sungai berhampiran kampung.
Operasi SAR digerakkan sejurus laporan diterima, namun hanya peralatan memancing dan barangan peribadi milik mangsa ditemui pada awalnya. Mayat mangsa akhirnya berjaya ditemukan pada hari kedua pencarian.
Sumber: TVS
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini