KUALA LUMPUR - Penyanyi tersohor Dayang Nurfaizah enggan mengulas lanjut berhubung desas-desus yang mendakwa beliau bakal menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat.
Dayang, atau nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 44, hanya meminta orang ramai dan para peminat mendoakan yang terbaik buat dirinya.
“Doakan yang terbaik untuk saya,” katanya ringkas ketika ditemui pada sidang media persembahan eksklusif Janji semalam.
Sebelum ini, timbul spekulasi kononnya Dayang telah mengikat tali pertunangan dengan penyanyi dan komposer, Hael Husaini. Bagaimanapun, Hael pernah menafikan dakwaan tersebut yang tular di media sosial.
Mengulas lanjut, Dayang menegaskan tiada tarikh perkahwinan yang telah ditetapkan, seperti yang disebarkan oleh segelintir pihak.
“Buat masa ini, hari istimewa saya adalah dua tarikh persembahan Janji With Dayang di Pulau Pinang dan Menara Kuala Lumpur, iaitu pada 23 Ogos dan 27 September,” jelasnya.
Tambahnya lagi, persembahan itu cukup bermakna kerana ia berkait rapat dengan pelancaran album pop terbaharunya, Janji, yang diterbitkan pada November tahun lalu.
“Saya sudah lama tidak tampil dengan album pop, kali terakhir adalah pada 2017. Jadi, dua persembahan ini sangat istimewa dan memang saya nantikan,” katanya.
Ketika ditanya sama ada Hael akan hadir pada persembahan tersebut, Dayang memilih untuk tidak memberikan sebarang komen.
“Orang paling bermakna yang akan hadir adalah peminat saya. Mereka adalah sumber semangat saya.
“Tiada kejutan atau gimik dijangka. Antara artis jemputan yang akan membuat persembahan ialah Anwar Amzah dan Naki. Komposer dan rakan artis lain juga akan turut hadir,” katanya.
Dayang memaklumkan konsert eksklusif itu akan menampilkan lagu-lagu dari album Janji, sebagai tanda penghargaan buat para peminat yang terus memberi sokongan.
“Saya sangat terharu apabila tiket terjual habis dalam tempoh singkat. Semoga segala perancangan berjalan lancar,” tambahnya.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini