CARDIFF, WALES – Selepas 16 tahun berpecah, band legenda Britain, Oasis akhirnya bersatu semula dalam konsert pembukaan Oasis Live '25 Tour di Stadium Principality, Cardiff, malam kelmarin, yang dihadiri lebih 70,000 peminat setia.
Band rock ikonik dari Manchester itu, yang ditubuhkan pada 1991, kembali tampil dengan barisan asal termasuk Liam dan Noel Gallagher, serta Paul Arthurs, Gem Archer, Andy Bell dan Joey Waronker.
Konsert pembukaan menyaksikan Oasis mempersembahkan deretan lagu klasik seperti Hello, Cigarettes & Alcohol, Fade Away, Slide Away dan Whatever. Tidak ketinggalan lagu ikonik yang melonjakkan nama mereka, Wonderwall dan Don't Look Back In Anger dari album mega 1995 mereka, (What’s the Story) Morning Glory?.
Malam penuh nostalgia itu diakhiri dengan ucapan terima kasih kepada peminat atas sokongan berterusan sepanjang kerjaya mereka.
Oasis berpecah pada 2009 susulan konflik berpanjangan antara Liam dan Noel, namun kedua-duanya kini dilihat berdamai demi peminat dan legasi muzik mereka. Sepanjang perpecahan, mereka sering terlibat dalam pertikaman lidah di media.
Kini, band itu bersedia menggegarkan pentas global dengan 41 konsert di seluruh dunia. Jelajah ini akan menutup tirainya di Stadium Morumbi, São Paulo, Brazil pada 23 November depan.
Oasis juga dijadual kembali ke Manchester selama lima malam bermula 11 Julai ini, selain singgah di bandar-bandar utama seperti London, Edinburgh, Dublin, Toronto, Chicago, Mexico City, Goyang, Tokyo, Sydney, Buenos Aires dan Santiago.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini