ZAMORA, Sepanyol – Dunia bola sepak dikejutkan dengan berita kematian pemain Liverpool dan Portugal, Diogo Jota, yang maut dalam kemalangan jalan raya di Sepanyol awal pagi Khamis, hanya beberapa jam selepas memuat naik video perkahwinannya yang penuh emosi di Instagram.
Jota, 28, dan adiknya Andre Silva, 25, disahkan meninggal dunia dalam nahas di Zamora. Dalam hantaran terakhirnya, Jota berkongsi momen istimewa bersama isterinya, Rute Cardoso, dengan kapsyen ringkas: “Hari yang tak akan kami lupakan.”
Video tersebut memaparkan pasangan itu meraikan hari bahagia mereka dengan penuh kegembiraan—menari, ketawa, dan dikelilingi anak-anak serta ahli keluarga. Pasangan itu baru melangsungkan perkahwinan di sebuah gereja di Porto, hanya 11 hari sebelum tragedi berlaku.
Jota dan Rute telah bersama sejak 2012 dan bertunang pada Julai 2022. Mereka mempunyai tiga cahaya mata: Dinis, 4, Duarte, 2, dan seorang bayi perempuan.
Salah satu kapsyen selepas majlis itu menyentuh hati ramai apabila Jota menulis: “Sayalah yang paling bertuah.” Rute turut berkongsi kegembiraannya dengan menulis: “Ya untuk selamanya. Impian saya menjadi kenyataan.”
Perkongsian mereka menerima lebih 190,000 tanda suka dan ribuan komen daripada peminat serta rakan selebriti. Kini, hantaran itu menjadi memori terakhir buat para peminat.
Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF) menyifatkan Jota sebagai seorang pemain cemerlang dengan hampir 50 penampilan antarabangsa, dan seorang insan yang disayangi ramai.
“Pemergian Diogo dan Andre adalah kehilangan besar buat komuniti bola sepak kami,” kata FPF dalam satu kenyataan.
Sebagai penghormatan, FPF mencadangkan agar satu minit berdiam diri diadakan sebelum perlawanan Kejohanan Eropah Wanita menentang Sepanyol.
“Kami akan terus menghormati legasi mereka di dalam dan luar padang,” tambah kenyataan itu.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini