LONDON, 3 Julai 2025 – Dunia bola sepak dikejutkan dengan berita pemergian pemain Liverpool, Diogo Jota, yang dilaporkan maut dalam satu kemalangan jalan raya di Sepanyol.
Menurut laporan media tempatan, pemain kebangsaan Portugal berusia 28 tahun itu terlibat dalam kemalangan di Zamora, berhampiran Palacios de Sanabria. Ketika kejadian, Jota dilaporkan berada dalam kenderaan bersama abangnya, Andre Jota.
Malangnya, kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Jota, yang beraksi di posisi sayap kiri, menyertai Liverpool dari Wolverhampton Wanderers pada tahun 2020 dengan nilai perpindahan £41 juta (kira-kira RM236 juta). Sejak itu, beliau menjadi tonggak penting dalam skuad kendalian Jurgen Klopp.
Tragedi ini berlaku hanya 10 hari selepas Jota melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya, Rute Cardoso. Pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata, dan baru-baru ini berkongsi momen indah mereka di media sosial dengan kapsyen menyentuh hati: “22 Jun 2025. Ya sehingga selama-lamanya.”
Peminat, rakan sepasukan dan komuniti bola sepak global kini berkabung atas kehilangan besar ini.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini