Tokyo, 3 Julai – Sebuah pesawat Japan Airlines yang dalam perjalanan dari Shanghai ke Tokyo terpaksa melakukan pendaratan kecemasan selepas mengalami kerosakan pada sistem tekanan kabin, menyebabkan ia menjunam lebih 7,000 meter dalam tempoh 10 minit.
Insiden yang berlaku pada malam Isnin lalu melibatkan penerbangan JL8696/IJ004, yang dikendalikan bersama syarikat penerbangan tambang rendah Spring Airlines Japan. Pesawat Boeing 737 itu membawa 191 penumpang dan anak kapal sebelum dilencongkan ke Lapangan Terbang Kansai di Osaka sekitar jam 9 malam waktu tempatan.
Rakaman video yang dimuat naik ke media sosial menunjukkan detik cemas di dalam kabin, dengan penumpang kelihatan panik dan topeng oksigen tergantung dari siling.
Menurut seorang penumpang, pesawat mula kehilangan altitud sekitar jam 7 malam, menjunam ke paras 3,000 meter dalam masa hanya 20 minit.
Dalam kenyataan rasmi, Japan Airlines mengesahkan pesawat berkenaan mengalami kerosakan pada sistem tekanan kabin pada 30 Jun. Bagaimanapun, syarikat itu menegaskan bahawa tidak berlaku penyahmampatan pantas (rapid decompression) dan juruterbang bertindak mengikut prosedur kecemasan dengan menurunkan pesawat ke altitud selamat.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu, dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini