Walaupun sedang berdepan pertuduhan amang seksual yang mengejutkan ramai, penyanyi dan pelakon berbakat Naim Daniel membuktikan bahawa seni dan semangat juangnya belum padam.
Dalam satu persembahan emosional di acara School of Galau anjuran XO House baru-baru ini, Naim tampil di pentas buat kali pertama sejak pertuduhan dikenakan ke atasnya bulan lalu. Kehadiran beliau bukan sahaja mencuri tumpuan, malah mengundang air mata – bukan hanya daripada penonton, malah rakan-rakan artis yang turut berada di pentas.
Antara lagu yang dinyanyikan penuh penghayatan termasuk Seni Berdamai Dengan Takdir, Mengenangmu, dan Lagu Lelaki Gila – semuanya menyentuh hati dan menggambarkan perjuangan emosi yang sedang dilaluinya.
Rata-rata netizen meluahkan rasa sebak melihat persembahan tersebut. Video yang tular di media sosial dipenuhi komen-komen menyentuh hati:
“Kenapa entah rasa sayu tengok muka Naim, semoga yang baik-baik untuk dia.”
“Dia yang menyanyi tetapi kenapa aku yang menangis? Bangkit, Naim, bangkit.”
“Selagi belum disabitkan bersalah, kita tidak patut menghukum. Teruskan berkarya."
Turut kelihatan dalam video yang dikongsi, dua penyanyi di bawah label XO House – Iman Troye dan Dalia Farhana – gagal menahan air mata ketika Naim naik ke pentas, jelas menunjukkan sokongan tidak berbelah bagi daripada rakan seindustri.
Dalam pada itu, lagu Seni Berdamai Dengan Takdir terus mencipta fenomena – kini berada di tangga teratas karya paling tinggi penstriman dan sudah ditonton lebih 1.3 juta kali di YouTube sejak dilancarkan sebulan lalu.
Untuk rekod, Naim Daniel, 27, telah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 17 Jun lalu atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun. Kes berkenaan masih dalam proses perbicaraan dan dijalankan secara tertutup.
Naim sebelum ini ditahan pada 3 Jun namun dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.
Sumber: Kosmo Online!
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini