Bintang muay thai negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib, tampil mempertahankan rakan sepasukannya, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar (Jojo), yang menerima kecaman netizen selepas tewas dalam aksi ONE Fight Night 32 di Stadium Lumpinee, Bangkok baru-baru ini.
Aliff, yang turut beraksi pada malam yang sama dan meraih kemenangan keempat berturut-turut dalam kejohanan tersebut, menegaskan bahawa para peminat sukan tempur seharusnya memberi sokongan berterusan kepada atlet tempatan, bukan hanya ketika mereka mencapai kejayaan.
“Johan masih muda dan dia antara individu yang membuka mata rakyat Malaysia terhadap muay thai. Kita patut sokong dia, bukan jatuhkan,” katanya ketika ditemui di gim latihannya, KIB Boxing Muaythai Gym, di ibu kota.
Jojo tewas menerusi keputusan 'split decision' kepada petarung Colombia-Amerika, Diego Paez, selepas tiga pusingan sengit dalam kategori flyweight. Sebaliknya, Aliff mencatat kemenangan bergaya ke atas Elmehdi El Jamari dari Maghribi menerusi keputusan sebulat suara dalam kategori strawweight.
Namun begitu, Aliff tetap merendah diri dan mengakui kejayaannya turut diinspirasi oleh karisma dan pencapaian Jojo yang menjadi wajah muay thai Malaysia di pentas antarabangsa.
“Saya hormat dia. Dia bijak, tahu menonjolkan diri, pandai bercakap dan hebat dari segi pemasaran. Kerana dia, muay thai Malaysia makin dikenali.”
Mengulas tekanan mental yang dialami atlet, Aliff turut berkongsi pengalaman menjadi sasaran kecaman peminat, termasuk dari Thailand, namun menegaskan bahawa beliau belajar untuk tidak terkesan dengan komen negatif.
“Saya tak ambil hati sebab benda tu tak bagi saya makan. Rezeki saya, saya cari sendiri,” katanya tegas.
Dalam masa sama, Aliff menyeru peminat sukan tempur tanah air agar terus menyokong atlet tempatan secara konsisten, tidak kira menang atau kalah.
Sebagai rekod, Aliff kini mempunyai lapan kemenangan daripada sepuluh pertarungan dalam ONE Championship, dan dijangka menentang juara dunia strawweight, Prajanchai PK Saenchai pada September ini dalam misi memburu gelaran dunia pertamanya.
Sumber: Berita Harian
Sertai Telegram kami untuk mendapat berita-berita terkini